Sunday 11 September 2011

Sejarah Batu Arang.

Batu Arang dulunya merupakan bandar perlombongan arang batu di Selangor, Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua hingga tahun 1960-an. Batu Arang berdekatan dengan Sungai Buloh, Rawang dan Batang Berjuntai.

Arang batu menjadi bahan bakar selain arang kayu dan kayu api. Ketika itu, Tanah Melayu tidak ada petroleum mahupun gas asli. Arang batu digunakan bagi menggerakkan kereta api sebagaimana di England.

Arang batu dilombong dengan mengorek lubang atau terowong di dalam tanah secara berperingkat-peringkat dan berlapis-lapis. Kaedah perlombongan ini amat berbahaya kerana tiang kayu sokongan mudah patah dan tanah akan runtuh. Pelombong akan terperangkap di dalam terowong, sesak nafas dalam gelap tanpa bekalan oksigen dan meninggal dunia.

Selain arang batu, Batu Arang juga dikenali dengan pengeluaran batu-batanya. Hari ini, ia tidak lagi membekalkan arang batu dan tidak lagi memainkan peranan penting. Ladang-ladang getah telah ditukar kepada tanaman kelapa sawit. Hak milik ladang kini bertukar tangan kepada syarikat Guthrie dan Golden Hope Plantation.

Pada zaman darurat 1948-1960, Batu Arang menjadi lokasi pertempuran utama antara pengganas komunis dengan pihak tentera British. Pengganas komunis sengaja sabotaj pokok-pokok getah di ladang-ladang, rumah majikan orang putih, lombong-lombong dan sebagainya. Kedudukan Batu Arang di kawasan berbukit-bukau dan sistem jalan raya yang berliku-liku menyebabkan lokasi ini amat strategik untuk pengganas komunis. Antara ladang yang menjadi sasaran ialah Ladang Tuan Mee. Pada masa itu hampir kesemua ladang dimiliki oleh peladang British dan pekerjanya dibawa dari Ceylon (Sri Lanka).

Pihak British terpaksa mengambil ramai pemuda Melayu untuk menjadi Special Constable untuk mengawal lombong dan ladang-ladang ini. Operasi utama mereka ialah di pondok-pondok kawalan pada sebelah malam. Antara yang pernah bertugas sebagai Special Constable di Batu Arang ialah Abdul Hanif bin Mohd Baki pada 1952.

No comments:

Post a Comment